Monday, 2 January 2012

Pahala Dalam Kesabaran

Dalam hadith Qudsi Allah berfirman yang maksudnya:

"Bila telah aku timpakan bencana kepada salah seorang dari
hambaKu pada badannya, hartanya, atau anaknya, kemudian
ia menerimanya dengan sabar yang sempurna, Aku merasa
enggan untuk menegakkan timbangan atau membuka buku
catatan amalnya pada hari kiamat."
(HR. Dailami, al-Hakim dan Tarmizi)

          Sabar adalah menahan diri dan membawa seseorang kepada yang dituntut oleh syarak dan akal fikiran yang sihat serta menghindarkannya dari apa yang dibenci oleh keduanya. Jadi sabar adalah suatu kekuatan yang mendorong yang menghalangi seseorang dari melakukan kejahatan.

          Hujjatul Islam Imam Ghazali mengatakan; sabar ialah tetap tegaknya dorongan agama pada diri seseorang ketika berhadapan dengan dorongan hawa nafsu. Dorongan agama ialah hidayah Allah kepada manusia untuk mengenalNya, RasulNya serta mengetahui dan mengamalkan ajaranNya dan perkara-perkara yang berkenaan dengan akibat-akibatnya.

          Sabar iaitu sifat yang membezakan antara manusia dengan haiwan dalam perkara menundukkan hawa nafsu. Sedangkan dorongan hawa nafsu ialah tuntutan syahwat dan keinginan yang minta dilaksanakan.

          Bagi orang yang tetap tegak bertahan sehingga ia dapat menundukkan dorongan hawa nafsu secara terus-menerus, maka orang tersebut termasuk ke dalam golongan orang-orang yang sabar.

          Sedangkan yang dimaksud dengan sabar yang sempurna iaitu sabar yang tidak memperlihatkan keluhan. Para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: Apa dan bagaimanakah sabar yang sempurna itu? Baginda menjelaskan bahawa sabar yang sempurna itu ialah sabar yang tidak disertai dengan keluh kesah dan pengaduan.
(HR. Ibn Abi Hibalah)

          Untuk kita ketahui, bahawa Allah SWT kadangkala melaksanakan hukuman di dunia ini dengan memberikan ujian dan cubaan dalam berbagai bentuk, di antaranya seperti:
  1. Cubaan yang bersifat jasmani dan rohani yang berupa penyakit, luka, cacat pada salah satu anggota badan, digigit binatang, perasaan susah, gelisah, dukacita, rasa takut dan lain-lain.
  2. Cubaan melalui harta kekayaan, berupa kehilangan, kebakaran, kerosakan dan lain-lain.
  3. Cubaan melalui sanak keluarga dan keturunan, seperti kematian, cacat mental, lumpuh dan lain-lain.
          Semua ujian dan cubaan tersebut mungkin terjadi kerana:
  • Merupakan undangan dari hasil kederhakaan manusia sendiri hasil perbuatan dan kelakuannya sendiri yang dihukum di dunia ini oleh Allah sebagai balasan secara langsung dari dosa-dosanya itu. Kemungkinan ini dapat terjadi sebagai tanda kasih sayang Allah untuk menghapuskan dosa kederhakaannya di dunia ini, dan orang tersebut akan keluar dari dunia ini dalam keadaan suci bersih. Sedangkan kemungkinan lainnya adalah untuk mengangkat martabat seseorang, baik di dunia mahupun di akhirat, bila ia tidak mempunyai kederhakaan lainnya yang patut dihukum.
  • Takdir Allah sendiri untuk menguji hambaNya secara terus-menerus, dan kelak pada hari akhirat akan diganti dengan rahmat dan keredhaanNya.
          Bila seseorang yang menghadapi cubaan dan penderitaan itu dengan redha, ikhlas serta mencari jalan keluar dengan cara yang baik, tidak mengeluh, mengaduh dan sebagainya, maka Allah SWT pasti akan memudahkan baginya hisabnya pada hari kiamat. Allah akan menyegerakan balasan pahalanya memberkati kehidupannya sehingga timbangan amalnya tidak berat kepada kejahatan, yang disudahi dengan masuk ke dalam syurga yang penuh dengan seribu satu kenikmatan.

          Semuanya ini melukiskan secara kiasan bahawa Allah SWT menerima apa yang dilakukan oleh hamba yang sabar dan soleh dengan sambutan yang baik dan memberi kurnia keredhaan atasnya.

         Hadith di atas juga menjelaskan kepada kita bahawa manusia itu disebut hamba dengan alasan:
  • Untuk menunjukkan kekuasaan Allah terhadap manusia, baik ilmu mahupun hikmah dan rahsiaNya.
  • Untuk menunjukkan bahawa manusia itu harus tunduk dan wajib merendahkan diri terhadap Penciptanya dengan penuh kehambaan. Sebab menghambakan diri kepada Allah pada hakikatnya ada kemuliaan dan ketinggian.
          Berkenaan dengan sabar, sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, bahawa Allah telah menyebut di dalam Al-Qur'an tidak kurang dari sembilan puluh kali, dalam berbagai bentuk dan keadaan, untuk menunjukkan betapa tinggi nilainya dan keutamaannya.

          Kebanyakan orang menyangka bahawa sabar bererti merendahkan diri dan menyerah kepada keadaan, membiarkan diri hanyut dalam keadaan tersebut, atau menghentikan usaha tanpa ikhtiar mencari jalan keluar yang baik.

          Pengertian seperti ini tidaklah tepat, sebab yang dikatakan seabar ialah menghadapi cubaan dan ujian dengan cara yang baik, berikhtiar untuk mencari jalan keluar dengan cara yang baik pula, dan membiasakan diri melakukan amal perbuatan yang soleh dan usaha yang terpuji, sambil menjadikan pengalamannya itu sebagai dorongan untuk mempunyai kemahuan yang keras disertai dengan keimanan dan keyakinan yang penuh istiqamah.

          Dalam kajian falsafah Islam sikap sabar itu ada lima macam, iaitu:
  1. Sabar dalam beribadah, ialah sentiasa tekun mengendalikan diri untuk melaksanakan segala syarat, rukun dan sebagainya di dala ibadah.
  2. Sabar ketika ditimpa malapetaka atau musibah, ialah keteguhan hati ketika mendapat ujian atau cubaan baik yang berupa kemiskinan, kematian, diserang penyakit dan sebagainya.
  3. Sabar terhadap kehidupan dunia, ialah sabar terhadap tipu daya dunia, tidak terpaut kepada kenikmatan hidup dunia, dan tidak menjadikan kehidupan dunia sebagai tujuan, akan tetapi hanya sebagai alat untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi kehidupan yang kekal dan abadi.
  4. Sabar terhadap maksiat, ialah mengendalikan diri supaya tidak melakukan perbuatan maksiat. Sabar dalam hal ini bukan saja berkenaan dengan diri sendiri, akan tetapi juga berkenaan dengan diri orang lain. Iaitu kita harus berusaha supaya orang lain juga jangan sampai terjerumus ke jurang kemaksiatan, dengan cara melakukan amak makruf nahi mungkar.
  5. Sabar dalam perjuangan, ialah menyedari sepenuhnya bahawa setiap perjuangan mengalami masa pasang dan masa surut, masa menang dan masa kalah.

          Jika dilihat dari bentuk kegiatannya, maka sabar itu ada dua macam, iaitu:
  1. Sabar dalam menghadapi cubaan yang bersifat jasmani, iaitu sentiasa tabah dalam memikul beban yang berat, tabah ditimpa kemiskinan ataupun menderita kesakitan.
  2. Sabar dalam menghadapi cubaan yang bersifat rohani yang terbahagi kepada beberapa macam:
  • Iffah, iaitu sabar menahan hawa nafsu termasuk di dalamnya nafsu seks.
  • Keteguhan hati dalam menghadapi musibah atau bencana yang menimpa, tidak menyesal, tidak gelisah, mengeluh, tidak mengumpat dan sebagainya.
  • Menahan diri dari kehidupan mewah pada waktu kaya.
  • Sabar dalam perjuangan atau peperangan.
  • Menahan diri dari kemarahan.
  • Menahan diri dan berlapang dada dalam menghadapi lawan.
  • Menahan diri dan memelihara rahsia, baik rahsia sendiri mahupun rahsia orang lain apa lagi apa lagi rahsia negara.
  • Menahan diri dari tarikan kehidupan duniawi dalam usaha untuk memperoleh kebahagiaan di akhirat.
  • Menahan diri dari hidup berlebih-lebihan dan merasa puas dengan kehidupan yang ada sesuai dengan hasil usaha.
          Mengenai sifat sabar ini, sepatutnya kita mengambil contoh dari umat dahulu, bagaimana mereka menghiasi diri mereka dengan kesabaran, sabar yang penuh keindahan yang tidak keluh kesah mahupun rasa gelisah. Mereka menganggap bahawa sifat sabar itu adalah satu kekuatan yang mendorong seseorang untuk melakukan perbuatan yang baik dan merupakan benteng dari melakukan perbuatan jahat.

          Mereka juga berkeyakinan bahawa mengekalkan diri dalam ketaatan kepada Allah adalah termasuk sabar. Menjauhi perbuatan-perbuatan dosa atau derhaka juga termasuk sabar. Demikian juga menahan diri dan tahan menderita kesusahan termasuk sabar. Juga menjaga dan memelihara rahsia, menunaikan amanah, menjaga lidah dalam berkata-kata, termasuk sabar.

          Jika kita membalik lembaran sejarah, di sana akan kita temukan, bagaimana penderitaan Nabi Ayub as, Nabi Ibrahim ketika dibakar hidup-hidup dan dimusuhi umatnya. Kesabaran Nabi kita Muhammad SAW berserta para sahabatnya, dalam menyampaikan dan mengembangkan serta mempertahankan ajaran Islam. Semuanya itu dapat kita jadikan contoh dan teladan dalam kehidupan sehari-hari.

          Sebagai  seorang Muslim, hendaklah dalam menghadapi setiap permasalahan, menjadi sabar sebagai pegangan untuk mencapai kemenangan. Sebagaimana firman Allah SWT:

Ertinya:
"Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah berjaga-jaga dan bertawallak kepada Allah supaya kamu beruntung."
(Al-Imran: 200)

          Ayat di atas menjelaskan kepada kita, bahawa ada empat sifat yang akan menghasilkan kemenangan iaitu; sabar, saling menyabarkan, berhati-hati dan takwa.

          Kemenangan yang bermaksud oleh ayat di atas, tentulah kemenangan hidup di dunia mahupun kemenangan yang abadi di hari akhirat nanti.

No comments:

Post a Comment