Pertama, wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya dia tidak
dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam.
Kedua, wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera
kehidupan ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.
Ketiga, wanita adalah anugerah Illahi yang teristimewa kepada lelaki yang
mendambakan kemesraan dan kebahagiaan hidup.
Sejarah Islam sebenarnya melahirkan ratusan personaliti wanita terbilang yang menjadi teladan kepada warga Muslimah dewasa ini. Mereka adalah wanita contoh yang menempa tinta emas yang mewarnai sejarah kegemilangan dan keunggulan Islam. Sehubungan itu, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia;
mereka itu adalah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa;
Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah s.a.w. dan Fatimah binti Muhammad,
puteri kesayangan Baginda." - ( Riwayat Bukhari )
Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah.
Maryam pula adalah simbol wanita dalam ibadahnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.
Khadijah pula adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan pada bahu Rasulullah s.a.w..
Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita solehah; anak yang soleh dan taat di hadapan ayahandanya; isteri yang setia dan taat di hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dialah pemuka segala wanita dan juga seorang wanita mithali dalam setiap detik kehidupan yang dilaluinya, sewajarnya dijadikan ikutan Muslimah.
Demikian antara beberapa profil wanita Muslimah contoh yang mewarnai pentas kehidupan dengan ketenangan, kemesraan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Islam menganjurkan setiap Muslim yang bakal melangkah alam perkahwinan agar berhati-hati memilih calon isteri. Kriteria calon isteri penting dalam kehidupan berkeluarga kerana kesolehan isteri yang dituntut Islam, di samping bakal menjamin kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya,
kelak kecantikannya itu akan membinasakannya;
janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya,
boleh jadi hartanya akan menyebabkan kederhakaannya;
sebaliknya nikahilah wanita yang beragama.
Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan
tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu."
- ( Riwayat Abdullah ibn Humaid )
- ( Riwayat Abdullah ibn Humaid )
Jelas di sini, bahawa aspek keagamaan dalam diri seseorang isteri adalah penentu hala tuju sesebuah rumah tangga yang dibina dan dibentuk. Hal ini kerana agamanya yang bertapak kukuh dalam jiwa sanubarinya, dia pasti akan taat kepada suaminya pada semua perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah dan tidak mendatangkan mudarat kepadanya.
Isteri yang solehah juga akan bersifat amanah terhadap harta benda suaminya, di samping menjaga maruahnya. Sewaktu ketiadaan suaminya, seorang isteri solehah memelihara dirinya dan maruahnya seperti tidak boleh keluar rumah tanpa izinnya, tidak boleh menerima tetamu yang tidak dikenali dan sebagainya.
Ketaatan dan sifat beramanah seorang isteri solehah ini banyak dipengaruhi oleh firman Allah yang bermaksud:
"...perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara
kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan
perlindungan Allah..."
( Surah an-Nisa: 34 )
Malah, isteri yang solehah ingatannya mesti segar dengan pesanan Baginda yang bermaksud:
"Jika seseorang wanita
menunaikan solat lima waktu,
berpuasa sebulan Ramadan, memelihara
kehormatannya, mentaati suaminya,
nescaya dia dapat masuk ke
mana-mana saja pintu syurga
menurut kehendaknya."
( Riwayat Imam Ahmad )
( Riwayat Imam Ahmad )
Isteri solehah juga adalah isteri yang sentiasa menyempurnakan keperluan suaminya, di samping memelihara keredaannya pada setiap masa dan keadaan. Kerana keredaan suami adalah anak kunci utama yang melayakkannya menjadi penghuni syurga penuh kenikmatan. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
"Mana-mana isteri yang meninggal dunia, sedangkan suaminya
reda kepadanya, nescaya isterinya akan masuk syurga."
( Riwayat Al-Hakim dan Tirmizi )
Apa yang paling penting ialah isteri solehah adalah pendidik dan pengasuh terbaik kepada anaknya yang juga penyejuk hati ibu bapa dan saham akhirat yang pahalanya berkekalan, biarpun ibu bapanya lama meninggal dunia. Dengan agamanya itu, seseorang ibu akan mewariskan segala ilmu agamanya kepada anaknya agar mereka kelak akan menjadi anak soleh dan taat, bukan saja kepada ibu bapa, bahkan taat kepada Allah. Agama inilah ramuan terbaik yang boleh melenturkan peribadi anak, perhiasan akhlak terpuji, mengisi minda dan hati anak dengan keimanan dan ketakwaan serta membimbing kehidupan ke arah keredhaan Illahi.
Demikianlah betapa besarnya fungsi seorang wanita yang bertindak sekali gus sebagai seorang isteri dan ibu solehah dalam sesebuah institusi keluarga. Justeru, Allah menganugerahkan ganjaran syurga bagi wanita solehah yang beriman dan benar-benar melaksanakan tanggungjawab sebgai seorang isteri dan ibu dalam kehidupan hariannya. Akhirnya, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya:
"Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak,
yang penyayang, yang memelihara kehormatannya, yang mulia pada kaca
mata ahli keluarganya, yang menghormati suaminya, menghiaskan dirinya hanya untuk
suaminya tercinta, memelihara diri daripada pandangan orang lain, yang mendengar
kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya. Apabila bersama suaminya,
dia memberikan apa saja diperlukan suaminya dan dia tidak pula
menolak ajakannya serta tidak merendah-rendahkan atau
menghina kedudukan suaminya di hadapan orang lain."
( Riwayat Al-Tausi )
( Riwayat Al-Tausi )
No comments:
Post a Comment