Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Dan hamba-hamba al-Rahman ialah mereka yang berjalan di muka bumi dengan rendah hati dan apabila disapaoleh orang yang jahil (dengan kata-kata yang kesat) mereka menjawab dengan ucapan yan baik." (Surah al-Furqan 25:63)
Al-Shahid Sayyid Qutb dalam tafsir Fi Zilal al-Quran menyatakan bahawa inilah antara ciri pertama ibad al-Rahman atau sifat hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Memberi Rahmat. Mereka berjalan di atas muka bumi dengan penuh rendah hati dan menjaga diri daripada teruja dengan kata-kata yang dilemparkan oleh orang jahil sebagai bukti ketinggian jiwa mereka.
Manakala al-'Allamah Ibn Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa antara sifat yang dikehendaki oleh Allah menerusi firmanNya ini adalah supaya menjauhi kesombongan dan keangkuhan, apatah lagi di dunia yang hanya sementara ini.
Menjauhi keangkuhan diri ialah kewajipan bagi setiap hamba. Ia merupakan syarat utama bersama dengan kerendahan hati. Ia seumpama memasukkan keruh ke dalam jernih, maksiat ke dalam taat atau lebih tepat lagi mati ke dalam hidup. Terlalu jelas perbezaannya.
Kerendahan Hati Dua Umar
Ada baiknya penulis menukilankan sebuah kisah bagaimana khalifah Islam kelima, Umar Abdul Aziz menterjemahkan firman Allah ini dalam hidupnya. Ketika seorang tetamu kerajaan mengingatkan kepadanya bahawa api minyak pelita yang digunakan oleh khalifah untuk menulis hampir padam dan seeloknya penjaga mengisinya kembali, Umar menjawab:
"Sekarang, masa bangun bagi penjaga berehat dan tidur."
Kemudian Umar bangun lalu mengisi minyak pelita itu. Perbuatannya itu mengejutkan tetamu tersebut. Kemudian beliau bertanya: "Wahai Amirul Mukminin, mengapakah tuan sendiri yang melakukannya?"
Dengan perasaan rendah hati, Umar menjawab: "Aku hanyalah Umar walau apa-apa keadaan sekalipun."
Tindakan yang sama diambil oleh Umar al-Khattab.Ketika Urwah bin Zubayr melihat khalifah Islam kedua ini memikul bekas air yang diambil dari kawasan awam, Urwah bertanya: "Mengapakah engkau melakukan pekerjaan sebegini wahai khalifah?"
Umar menjawab: "Ketika para utusan dan delegasi datang kepadaku, mereka tunduk dan patuh terhadap ucapan dan kata-kataku sehingga terkadang muncul benih-benih kesombongan dalam hatiku. Oleh sebab itu, aku ingin menghilangkannya."
Subhanallah! Lihatlah betapa jelasnya kerendahan hati dua Umar ini, walaupun mereka mampu memiliki dunia dan segala isinya. Namun kerana anugerah al-Rahman itulah yang didambakan, maka segala keangkuhan dan kebesaran diri ditundukkan dengan rasa rendah hati.
Perhiasan Akhlak
Lihatlah ketinggian akhlak yang ditunjukkan oleh Ibn Abbas, sepupu Baginda s.a.w. Beliau memegang tali kuda tunggangan Zaid bin Thabit sambil meminta beberapa nasihat buat dirinya. Betapa kerendahan hati beliau terzahir, walaupun kemudiannya Zaid bin Thabit meraih tangannya lalu mengucup untuk memuliakannya. Betapa terserlah pula kerendahan hati Zaid bin Thabit, penulis wahyu Baginda s.a.w. ini.
Renungilah pula sifat rendah hati Abu Hurairah r.a. Bukankah sepanjang menjawat jawatan gebenor Madinah, umat Islam sentiasa melihat beliau memikul muatan kayu untuk dijual bagi memenuhi keperluan keluarganya?
Bahkan Mu'az bin Jabal yang menerima hadiah baju kiriman daripada Umar al-Khattab hasil daripada harta ghanimah telah menjualnya dan hasil jualan itu digunakan untuk membebaskan enam orang hamba sahaya. Ia dilakukan semata-mata kerana kerendahan hati yang menghiasi akhlaknya, walaupun ketika itu Mu'az menjawat jawatan sebagai gabenor di Yaman.
Al-Sheikh Abu al-Qasim dalam al-Risalah al-Qushairiyyah menukilankan satu kisah sifat rendah hati seorang hamba sahaya. Apabila para bangsawan bersetuju meletakkan harga hamba itu dengan bayaran 1000 dirham, hamba itu berkata: "Tuan, sesungguhnya hargaku tidaklah mahal seperti itu. Cukuplah kamu membayar dengan beberapa dirham sahaja dan ketahuilah bahawa akhlak yang ada padaku inilah yang lebih mahal daripada dirham yang telah engkau tetapkan (hargannya)."
Subhanallah! Betapa kerendahan hati telah menghiasi jiwa mereka sehingga menjadi teladan sepanjang zaman. Ia menghidupkan jiwa dan menyuburkan benih-benih kemuliaan dalam mencapai anugerah Allah s.w.t. yang benar di akhirat yang kekal.
Benarlah kata Sufyan al-Thawri: "Sesungguhnya orang yang paling mulia ialah ilmuwan yang zuhud, ahli fiqah yang sufi, orang kaya yang rendah hati, orang fakir yang bersyukur serta pembesar yang sentiasa senyum kepada golongan yang lemah."
Penulis mendoakan agar kita dianugerahkan kerendahan hati yang hakiki kerana di situlah ketinggian jiwa akan tersemai dalam perjalanan menggapai cintaNya. Amin.
No comments:
Post a Comment